Nakhoda perkasa ekosistem pelancongan digital





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Jun. – Bagi meningkatkan pengalaman pelancong dalam meneroka, merancang dan menikmati keindahan Negara Brunei Darussalam (NBD), Dynamik Technologies secara rasminya melancarkan Nakhoda, sebuah platform pelancongan digital baharu, sekali gus membantu pengusaha pelancongan memperluaskan capaian digital mereka menjelang Visit Brunei 2027.


Platform tersebut dilancarkan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian Nakhoda Compass 2026 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.


Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab serta Pengerusi Lembaga Pengarah Dynamik Technologies, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.


Ketua Pegawai Eksekutif Interim Dynamik Technologies, Pengiran Noreen Afiza binti Pengiran Dato Paduka Haji Md. Zain dalam ucapan alu-aluannya berkata, Nakhoda dihasilkan untuk membimbing dan menghubungkan ekosistem pelancongan NBD.


Menurutnya, ia merupakan pengalaman digital menyeluruh yang direka khas oleh Dynamik bagi membolehkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang, meneroka dan kembali semula serta memperkenalkan destinasi-destinasi tersembunyi di negara ini.


Antara ciri utama Nakhoda ialah alat perancangan perjalanan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang membantu pengunjung menghasilkan itinerari yang diperibadikan mengikut minat, bajet dan pilihan perjalanan mereka.


Platform ini juga menawarkan ruang penemuan yang memaparkan destinasi, pengalaman dan cadangan tempatan, di samping menghubungkan pelancong dengan komuniti setempat, pengusaha pelancongan dan perniagaan melalui pengalaman yang dipilih serta kerjasama strategik.


Nakhoda merupakan inovasi hasil pembangunan Dynamik Technologies, iaitu platform pelancongan digital yang dihasilkan di NBD bagi memastikan tempahan, pembayaran serta data penting dan sensitif disimpan sepenuhnya di dalam negara.


Platform tersebut direalisasikan melalui kerjasama antara Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, dengan Dynamik Technologies dilantik sebagai Rakan Teknologi.


Pada awalnya, ia merupakan satu kajian kebolehlaksanaan mengenai data dan pengalaman pelancongan, kini berkembang menjadi sebuah platform praktikal yang menyokong promosi pelancongan yang lebih berkesan, pembangunan produk pelancongan serta penyediaan analisis data bagi industri.


Selain pelancaran platform tersebut, Nakhoda Compass 2026 turut menampilkan perbincangan mengenai pendigitalan sektor pelancongan, tahap kesiapsiagaan digital dan kerjasama industri.


Para peserta turut mendengar perkongsian daripada Agoda dan Klook mengenai perubahan tingkah laku pelancong, saluran pengedaran digital serta peluang untuk pengusaha pelancongan menembusi pasaran yang lebih luas melalui teknologi.


Satu sesi forum turut diadakan, bertajuk 'Bicara Nakhoda: Building a Digitally Ready Tourism Ecosystem' yang dikendalikan oleh Ketua Perkhidmatan Korporat Dynamik Technologies, Dayang Hajah Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Mohd Yunos.


Panel tersebut menampilkan Ketua Pembangunan Perniagaan Dynamik Technologies, Albert Hwong; Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Dayang Hajah Salina binti Haji Mohd. Salleh; Country Director at Agoda, Fabian Teja; serta Pengarah Perkongsian Kerajaan dan Dasar Awam (Asia Pasifik) Klook, Fu Wei Fong.


Perbincangan panel memberi tumpuan kepada peranan kesiapsiagaan digital dalam meningkatkan daya saing industri pelancongan, memperkayakan pengalaman pengunjung serta menyokong pertumbuhan industri.


Selain itu, kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta turut diketengahkan dalam usaha membina ekosistem pelancongan yang lebih berhubung dan berdaya saing.


Seiring usaha NBD dalam mencapai matlamat pembangunan sektor pelancongan, inisiatif seperti Nakhoda dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan penggunaan teknologi digital dalam industri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk berhubung dengan pengunjung dan mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka menjelang Visit Brunei Year dan seterusnya.


Pelancaran Nakhoda juga menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan transformasi digital negara, dengan teknologi terus berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri, inovasi dan kepelbagaian ekonomi.


Close